Rudy Habibie (Habibie & Ainun 2)


Terdetik di fikiran ketika leka mendengar ceramah mengenai syarat-syarat saksi apabila ingin melaksanakan hukum-hukum Islam. Di antara sifat saksi itu adalah ADIL dalam segala hal. Tapi, masyarakat yang adil itu semakin sukar dicari.

Rudy Habibie, atau nama penuhnya Bacharuddin Jusuf Habibie, kisah mengenai seorang rakyat biasa yang membesar seperti kanak-kanak biasa, mempunyai kepintaran yang luar biasa berbanding dengan sahabat-sahabatnya. Kemahirannya dalam menghuraikan permasalahan kapal terbang dan kapal selam memberikan gambaran kepada institusi di Jerman pada ketika itu bahawa pada zaman tersebut terdapat seorang cendakiawan yang boleh memberikan sumbangan yang besar dalam industri penerbangan.

Beliau di dalam kisah yang diceritakan ini memberikan gambaran kepada kita tentang semangat yang besar dimiliki oleh tubuh yang kecil, kehilangan bapanya ketika di dalam solat, lalu disambung solatnya oleh beliau. Menjadi peranan yang penting kepada kita sebagai masyarakat Islam untuk mendidik ahli keluarga kita terutamanya di dalam asas fardu ain. Kehidupan yang sukar membuatkan beliau lebih berkobar-kobar mencapai kejayaan.

Kerja keras yang ditunjukkan oleh beliau di dalam mengendalikan Perhimpunan Pelajar Indonesia (PPI) sehingga ke Projek Pembangunan bagi mahasiswa yang berada di Eropah ketika itu mencerminkan kekuatan suara mahasiswa pada ketika itu amat kuat sehingga mampu mencabar kerajaannya sendiri demi menjaga kepentingan rakyat. Jika dibandingkan dengan zaman ini, tidak ramai dan agak mustahil untuk mahasiswa bersikap seperti beliau kerana kita sentiasa mengamalkan sikap "datang universiti untuk dapatkan kelulusan yang tinggi, dapat kerja yang bagus-bagus". Seperti yang kita tahu, BJ Habibie menjadi Presiden Republik Indonesia dalam jangka masa yang amat singkat, tetapi ketekunan yang ditunjukkan memberikan kesedaran kepada kita bahawa perjuangan mempertahankan tanah air itu bukan wujud bila berdiri di negara sendiri sahaja, tetapi juga berada di negara lain, tetapi hati masih di tanah air tercinta.

Saat getir digambarkan apabila penyelidikannya ditarik oleh pihak universiti kerana beliau dilihat sebagai ancaman bagi Eropah dengan alasan Indonesia menolak untuk menyertai NATO pada ketika itu. Perjuangan tidak akan lengkap sekiranya tiada risiko yang diambil. Namun, kekuatannya dalam memperjuangkan suara mahasiswa Indonesia kembali dengan dorongan dari ibunya. Maka, pentingnya institusi kekeluargaan yang ampuh untuk melahirkan anak-anak yang mampu memberikan jasa yang besar dan manfaat untuk semua.

Ya, saya yakin dan percaya kepimpinan seseorang itu tidak lengkap jika tiada pembangkangnya. Maka, di sini saya mengambil pendekatan untuk menceritakan lebih kepada pemupukan semangat mahasiswa yang pada ketika itu menjadi tonggak kekuatan sesebuah negara. Penceritaan mengenai sejarah pemerintahan BJ Habibie ini juga mempunyai huraian yang panjang dan memerlukan perbincangan yang lebih mendalam. Namun, iktibar yang kita boleh cedok daripada filem ini adalah:

- Di negara mana pun kita berada, tetapi di dalam hati, tanah air kita adalah cinta sejati yang perlu dijaga generasinya.
- Tidak semua kesenangan dimulai dengan kehidupan yang mewah, semuanya bermula daripada kesusahan.
- Tidak mungkin wujud patriotik di dalam diri jika tidak memandang rakyat sebagai saudara mereka sendiri.
- Nilai-nilai Islam yang dididik oleh ibu bapa memainkan peranan penting di dalam kehidupan anak-anak dengan harapan anak-anak tidak menyimpang dari ajaran yang sebenar.

Filem ini boleh dijadikan contoh bagi mahasiswa pada masa kini dengan harapan pada masa hadapan, negara kita akan ditadbir oleh golongan-golongan cendakiawan yang bijak dan tidak mementingkan kepentingan sendiri dan kroni sahaja.

Tulisan oleh: Miftahul Khair.

p/s: mungkin review ini tak cukup memuaskan hati sesetengah pembaca, sekurang-kurangnya kita ambil yang mana boleh dicontohi, untuk kebaikan diri kita dan masyarakat :)


Comments

Popular posts from this blog

Karangan STPM - Faktor-faktor hilang semangat kejiranan (isi)

Geografi Alam Sekitar Fizikal -Bahangan Matahari,Bahangan bumi,proses-proses yang terlibat dalam imbangan Haba

Karangan STPM - Kepentingan Sukan (isi)